Monday, 7 December 2015

GURU KURANG REALISTIK


a)   Kurang Berpengetahuan
Guru kurang berpengetahuan merupakan salah satu daripada faktor utama guru kurang realistik. Menurut Kamus Dewan, pengetahuan yang diterbitkan dari kata kerja tahu disinonimkan dengan  ilmu, kepandaian, kebijakan, kebijaksanaan, kepakaran, kemahiran, kepintaran, keahlian, pelajaran dan pendidikan. Guru kurang pengetahuan boleh didefinisikan sebagai guru yang kurang ilmu, kepandaian, kepakaran, dan kemahiran dalam sesuatu bidang terutamanya dalam bidang pendidikan yang diceburi mereka. Menurut Aziz Omar, Sabri Ahmad & Tengku Azwawi (2006), adakalanya guru yang mengajar matematik merupakan mereka yang kurang berkelayakan dan tidak berpengalaman dalam bidang matematik.
Guru kurang pengetahuan pula berpunca dari pelbagai aspek. Salah satu daripadanya adalah guru bukan opsyen. Dewasa ini, terdapat lambakan siswazah yang masih lagi menganggur. Apabila tidak mendapat kerja yang berkaitan dengan opsyen yang dipilih, mereka mengambil keputusan untuk mengambil Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) dengan harapan mereka akan dapat menjadi guru dengan hanya setahun pengajian. Di sini timbul isu guru kurang berpengetahuan dari segi pedagogi walaupun mereka mahir dari segi kandungan subjek tersebut. Pengetahuan pedagogi dapat membantu guru mengajar dengan berkesan. Pengajaran dapat berjalan dengan baik dan pelajar pula mendapat manfaat daripada pengajaran itu (Esah Sulaiman, 2004). Asas pedagogi yang kurang boleh menyebabkan pelajar tidak tertarik dan faham dengan pengajaran yang dilakukan guru.
Di sekolah, guru-guru baru diberikan tanggungjawab untuk mengajar subjek yang bukan opsyen asalnya. Suka atau tidak, guru terpaksa memikul tanggungjawab yang diberikan kerana ia telah ditetapkan kepadanya. Masrizal (2003) dalam kajiannya menunjukkan bahawa akan timbul
masalah kepada guru-guru yang mengajar mata pelajaran yang bukan pengkhususannya. Kesannya guru tidak dapat menjelaskan konsep dengan baik dan sempurna serta tidak dapat membuatkan pelajar mengaitkan apa yang mereka pelajari dengan kehidupan seharian. Guru bukan opsyen juga akan mengajar dengan sambil lewa memandangkan subjek yang diajar bukan bidang yang digemarinya. Mereka juga kurang bersedia memandangkan mereka kurang pengetahuan tentang konsep dan pedagogi.
Guru kurang menganalisis kandungan setiap topik juga menjadi punca guru kurang pengetahuan. Bagi guru-guru baru, mereka mengambil masa yang agak lama untuk memantapkan diri mereka dengan kandungan bagi setiap topik yang diajar. Apabila di dalam bilik darjah, terdapat beberapa soalan berkaitan tidak dapat dijawab terus oleh guru malah guru mengambil masa sehingga P&P yang seterusnya untuk menjawab soalan tersebut kerana perlu membuat rujukan terlebih dahulu. Bagi guru-guru yang telah lama berkhidmat dalam bidang pendidikan, mereka mungkin tidak mempunyai masalah dalam menguasai setiap topik yang diajar. Menurut Tengku Zawawi, Ramlee & Abdul Razak (2009), guru berpengalaman dan mempunyai pengetahuan matematik yang tinggi, memiliki pengetahuan pedagogi isi kandungan yang baik.
Selain itu, guru lemah konsep matematik juga menjadi punca kepada jurang pencapaian pelajar dalam matematik. Dalam mencapai matlamat kurikulum dan objektif yang telah ditetapkan, guru memainkan peranan yang amat penting dalam menyampaikan isi kandungan yang telah dinyatakan dalam standard kurikulum (Aini Hayati et.al, 2013). Dalam hal ini, guru bukan opsyen matematik dikaitkan. Mereka menghadapi masalah dalam menguasai konsep matematik kerana mereka bukanlah mempelajari kursus matematik semasa pengajian ijazah mereka.
b)   Jangkaan Guru
Faktor kedua yang mempengaruhi jurang pencapaian matematik pelajar sekolah rendah atau sekolah menengah adalah jangkaan guru. Menurut Kamus Dewan, jangkaan ditakrifkan sebagai apa-apa yg dijangka, dugaan dan sang­kaan. Jangkaan guru boleh ditakrifkan sebagai tanggapan guru terhadap para pelajarnya. Menurut Sharifah Alawiyah (1987), terdapat beberapa jenis atau bentuk pengaliran dan pembezaan yang biasa dilaksanakan di sekolah atau bilik darjah dalam sistem pendidikan sesebuah negara, iaitu pengaliran, bukan pengaliran, pengaliran berband (banding) dan pengaliran tersembunyi, pengaliran berset (setting) dan pengaliran bergred (grading).
1.      Pengaliran Tersembunyi
Pengaliran jenis ini ialah tidak berdasarkan penilaian kebolehan, tingkah laku dan latar belakang keluarga sebaliknya ia berdasarkan kriteria atau pandangan guru yang tersendiri. Biasanya pada peringkat murid-murid yang baru masuk ke sekolah rendah atau Darjah Satu, guru telah membuat pemilihan berdasarkan tingkah laku atau pandangan serta kepercayaan guru sendiri. Kumpulan tersebut biasanya dikekalkan untuk beberapa tahun.
2.      Pengaliran Berset (Setting)
Mengumpulkan murid berdasarkan kebolehan mata pelajaran tertentu. Misalnya murid yang mendapat pencapaian yang baik dalam mata pelajaran Matematik dan Sains dalam PMR bolehlah diletakkan ke kelas aliran sains. Di Malaysia pengaliran banyak bermula pada Tingkatan Empat.
3.      Pengaliran Bergred (Grading)
Pengumpulan jenis ini ialah berdasarkan kemajuan dan pencapaian pelajar dan bukan berdasarkan ukuran kebolehan atau umur. Ia banyak dilaksanakan di Amerika dan Rusia.
            Jangkaan guru yang tinggi dan positif akan membantu pelajar menghadapi persekolahan mereka dengan penuh minat dan bersemangat untuk berjaya. Keinginan dan motivasi yang tinggi lahir daripada sikap yang positif (Sufean, 1996). Apabila seseorang pelajar mendapat jangkaan yang tinggi dan positif dari seorang guru, mereka beranggapan bahawa guru menaruh harapan yang tinggi kepadanya dan sebagai seorang pelajar mereka tidak mahu menghampakan guru mereka. Menurut kajian yang dijalankan oleh (Wan Zah et.al, 2009), persepsi pelajar kelas lemah adalah agak negatif jika dibandingkan dengan pelajar kelas pandai terhadap jangkaan guru terhadap mereka. Bagi pelajar, jika guru sudah beranggapan rendah terhadap kemampuan mereka, secara automatiknya tahap motivasi mereka menurun dan membuatkan mereka tidak mempunyai semangat untuk berjaya. Mereka beranggapan tidak ada gunanya mereka berjaya sedangkan guru awal-awal lagi memandang rendah akan kebolehan mereka.
c)      Kurang Berpengetahuan
Faktor ketiga yang membawa kepada guru kurang realistik adalah disebabkan oleh kurang pergetahuan dari guru tersebut. Pengetahuan yang rapi sebelum memulakan sesuatu kerja amat dititikberatkan untuk memastikan hasil yang berkualiti dan mencapai objektif serta sasaran yang ditetapkan. Begitu juga dengan tanggungjawab sebagai seorang guru. Sebelum memulakan pengajaran, seorang guru perlu menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Di dalam RPH ini seorang guru akan merancang kaedah, strategi dan teknik yang akan digunakan untuk mencapai hasil pembelajaran tajuk berikut. Pelbagai kemungkinan boleh terjadi sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran sama ada di dalam bilik darjah ataupun makmal.
            Segala masalah yang bakal timbul sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran ini akan mengganggu kelancaran pengajaran guru. Sebagai langkah pencegahan, guru tersebut perlu mempersiapkan diri sebelum memulakan tugas mengajar. Menurut (Mok, S.S. 2002), persediaan mengajar mempunyai tiga komponen penting iaitu komponen persediaan, penyampaian dan penutup. Oleh itu, guru itu sendiri perlu mempersiapkan diri dengan teknik bagaimana yang mereka perlu guna untuk menarik minat murid meneruskan pembelajaran, cara penyampaian yang digunakan perlulah bersesuaian dengan tahap kebolehan dan pengetahuan sedia ada mereka serta kaedah penutup sesi pembelajaran yang bagaimana ingin digunakan oleh guru.
            Seterusnya, kita kupas isu yang berkaitan dengan persediaan isi kandungan dan bahan pengajaran. Menurut Laporan Penilaian Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) yang dilakukan oleh para pensyarah maktab-maktab perguruan di Malaysia mendapati sebilangan besar guru-guru tetap dan kekal mengamalkan gaya pengajaran sehala iaitu “chalk and talk”. Menurut Mohd Majib Konteng (1997), kenyataan ini disokong oleh Jemaah Nazir Sekolah pada tahun 1992 di mana mereka menjelaskan bahawa guru masih kekal dengan peranan lama mereka sebagai pengajar dan masih lagi membahaskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran ke arah peperiksaan semata-mata.  Hal ini berlaku disebabkan guru malas untuk membuat persediaan dan perancangan dalam pengajaran yang bakal berlangsung terutamanya guru perempuan yang sudah berkeluarga. Segelintir dari mereka sibuk dalam menguruskan rumah tangga sehingga tiada masa untuk memikirkan kaedah pengajaran.
            Selain itu, terdapat juga segelintir guru veteran yang tidak suka akan perubahan kerana bagi mereka kaedah menggunakan papan hitam ini merupakan kaedah yang terbaik. Sedangkan jika dilihat pada sikap dan penerimaan murid pada masa kini, mereka lebih gemarkan kaedah pembelajaran yang mencabar dan menarik. Tidak menjadi satu kesalahan jika guru ingin menggunakan kaedah “talk and chalk” tetapi bagaimana teknik penyampaian mereka adakah bersesuaian dengan peringkat umur murid? Adakah bersesuaian dengan masa? Dan yang paling penting adakah murid dapat menerima ilmu yang kita sampaikan?. Bagi golongan guru yang sudah berpengalaman mungkin mereka sudah arif tentang perkaitan antara tajuk yang diajar dengan kehidupan seharian tetapi adakah pengetahuan mereka selaras dengan pembangunan negara?. Sebagai contoh, jika seorang murid bertanya apakah kepentingan untuk mereka belajar tajuk pembezaan dan pengamiran dalam hidup mereka? Jika seorang guru yang kurang pengetahuan mungkin akan memberi alasan yang tidak dapat membuktikan kepentingan pembelajaran tajuk pembezaan dan pengamiran dalam kehidupan mereka. Oleh itu, murid hanya akan belajar untuk lulus peperiksaan bukan untuk diaplikasikan dan akan melupakan tajuk berikut setelah tamat peperiksaan. Oleh itu, kurang persediaan dari segi isi kandungan dan bahan pengajaran ini akan menyebabkan guru-guru tersebut tidak dapat membawa murid berfikir di luar kotak serta tidak dapat mengaitkan pembelajaran mereka dengan kehidupan seharian.
            Jika difikirkan kembali, apakah yang dilakukan oleh guru sehingga tiada masa memikirkan persediaan mengajar sebelum mengajar? Ibu bapa mungkin mengatakan guru makan gaji buta tetapi sedarkah ibu bapa bahawa tugas seorang guru bukan sekadar menyampaikan ilmu di kelas?. Pada hakikatnya, guru juga memikul tugas bukan akademik seperti tugas-tugas pengkeranian, tugas-tugas khas dan tugas kokurikulum. Merujuk kepada akhbar bertarikh 1 April 2010 keratan yang bertajuk ‘Seksa Jadi Guru’. Berdasarkan artikel ini, dikatakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) telah membuat aduan mengenai beban tugas guru kepada Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 20 Mac 2010.
            Berdasarkan keratan akhbar tersebut, Jemali Paiman selaku Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan Guru Malaysia menyatakan tugas guru kelas adalah yang paling teruk contohnya guru perlu menyediakan maklumat peribadi murid, mengutip yuran, sediakan buku kedatangan murid, dapatkan maklumat murid dan keluarga serta menjadi pegawai kesihatan untuk merekodkan maklumat kesihatan. Berdasarkan artikel ini juga dapat dirumuskan bahawa isu beban tugas guru perlu dipandang serius bukan sahaja oleh pihak kerajaan, malahan semua pihak termasuk masyarakat. Ini kerana, beban tugas yang semakin bertambah dan kian mencabar telah menyebabkan prestasi seorang guru terjejas dan ini secara tidak langsung menjejaskan prestasi murid-murid di sekolah.

d)           Pendekatan yang tidak sesuai
            Faktor seterusnya yang boleh membawa kepada guru kurang realistik adalah dari segi pendekatan yang digunakan. Menurut Kamus Dewan (1998), pendekatan merupakan cara atau langkah-langkah yang diambil bagi memulakan dan melaksanakan sesuatu tugas. Apabila melihat kepada konsep pendekatan iaitu cara mendekati sesuatu, ia merujuk kepada cara bagaimana sesuatu mata pelajaran itu diajarkan untuk mencapai objektifnya. Guru yang mengajar mestilah terlebih dahulu mengenal pasti latar belakang murid. Ia akan membantu guru untuk memilih dan merancang pengajaran dengan menggunakan pendekatan yang sesuai.
            Selain itu, kaedah pengajaran adalah merupakan satu proses guru mengajar di mana ia merangkumi cara dan strategi yang digunakan untuk mengajar. Guru akan menggunakan sama ada pendekatan penyampaian maklumat iaitu berpusat guru atau pendekatan perubahan konsep iaitu berpusatkan pelajar. Kaedah pembelajaran yang dipilih juga akan mempengaruhi strategi yang akan digunakan oleh guru atau murid bagi memperoleh maklumat yang berlainan dan menyesuaikan diri dalam situasi pembelajaran yang berlainan.
            Pendekatan penyampaian maklumat tidak menggalakkan murid memberi pendapat mereka sendiri walaupun berkemungkinan besar mempunyai lebih pengetahuan sedia ada dalam diri mereka melalui pemerhatian atau pengalaman sendiri. Maklumat yang disampaikan pula bergantung sepenuhnya pada guru. Jika luas pengetahuan guru mengenai tajuk tersebut maka luas dan panjang lah penerangan guru. Pendekatan berpusatkan guru boleh di ibarat guru memberi syarahan dan murid mendengarnya di meja masing-masing. Situasi sebegini akan menimbulkan kebosanan dan hilang tumpuan murid di dalam kelas.
            Walaupun sudah sedia maklum dengan kelebihan dan kekuatan pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid, guru pada masa kini masih menggunakan kaedah pembelajaran berpusatkan guru sedangkan pendekatan yang disarankan adalah pendekatan berpusatkan murid sejajar dengan National Council for Teaching of Mathematics (NCTM, 2000) yang menyatakan pengajaran yang berkesan memerlukan persekitaran yang kondusif, menggalakkan murid berfikir, menyoal dan menyelesaikan masalah. Jika tidak menggunakan pendekatan berpusatkan pelajar, apakah kepentingan disediakan makmal Matematik di sekolah? Apakah kegunaan makmal komputer di sekolah?
            Seperti mana yang dapat saya perhatikan semasa menjalani praktikal, kebanyakan guru Matematik tidak memberi peluang kepada murid untuk berfikir di luar kotak. Pembelajaran yang dijalankan hanya merujuk dan berpandukan buku teks dan buku latihan. Ia disebabkan oleh sebilangan mereka berpendapat bahawa murid akan menjalani ujian PBS dan jika tidak mencapai band, murid dibolehkan untuk mengulangi ujian tersebut sehingga murid tersebut mencapai band yang disasarkan.
            Pendekatan berpusatkan pelajar bukan sahaja tertumpu pada penggunaan teknologi tetapi boleh juga diwujudkan dengan penggunaan objek maujud. Kita ambil contoh pada tajuk pepejal geometri, guru boleh meminta pelajar duduk di dalam kumpulan kecil dan melakukan aktiviti seperti melukis bentangan bagi kubus dan kuboid. Seterusnya meminta mereka untuk membentuk kubus dan kuboid serta mengenal pasti jumlah bucu, sisi dan garisan simetri. Pendekatan berpusatkan pelajar ini sememangnya memudahkan murid untuk memahami tetapi memerlukan tahap kerajinan yang tinggi di kalangan guru.


            Kesimpulannya, faktor-faktor seperti kurang persediaan guru untuk mengajar akan menyebabkan guru tidak menggunakan pendekatan yang sesuai sewaktu sesi Pengajaran dan Pembelajaran dilaksanakan. Ia juga berkait rapat dengan tugas-tugas sampingan sebagai guru. Guru yang di tugaskan untuk mengajar mata pelajaran bukan dari bidang mereka akan menimbulkan masalah kepada mereka dan murid. Selain itu, guru perlu sentiasa mengikuti perkembangan teknologi supaya dapat menarik minat dan kecenderungan murid untuk mempelajari mata pelajaran khususnya mata pelajaran Matematik yang memerlukan penguasaan konsep yang betul dan tepat.  

No comments:

Post a Comment