Pendekatan
konstruktivisme dalam pendidikan merupakan satu inovasi tentang gaya pengajaran
dan pembelajaran pada masa kini. Konstruktivisme menekankan kepada peranan
murid dan guru sebagai pembimbing sahaja. Kelebihan pendekatan ini ialah murid
berpeluang membina pengetahuan secara aktif melalui proses saling pengaruh
antara pembelajaran terdahulu dengan pembelajaran terbaharu. Pembelajaran
terdahulu dikaitkan dengan pembelajaran terbaharu. Perkaitan ini dibina sendiri
oleh murid. Hal ini kerana menurut teori kontruktivisme ini, konsep-konsep yang
dibina pada struktur kognitif seseorang akan berkembang dan berubah apabila ia
mendapat pengetahuan atau pengalaman baru. Menurut Subadrah Nair dan Malar
Muthiah (2005), menjelaskan bahawa seseorang dapat membina konsep dalam
struktur kognitifnya dengan pengetahuan yang sedia ada padanya dan proses ini
dikenali sebagai “accretion”. Pendekatan konstruktivisme sangat penting dalam
proses pembelajaran kerana murid digalakkan membina konsep sendiri dan
menghubungkaitkan perkara yang dipelajari dengan pengetahuan yang sedia ada pada
mereka. Dalam hal ini, sekaligus murid dapat meningkatkan pemahaman mereka
tentang sesuatu perkara.Penggunaan teori konstruktivisme sangat penting kerana teori ini terbukti
sangat dominan dalam pendidikan sekarang kerana menyediakan perubahan paradigma
kepada pendekatan yang lebih berasaskan kognitif berbanding pendekatan
tradisional yang lebih kepada behaviourisme. Kajian yang dilakukan oleh Peter,
Abiodun dan Jonathan (2010), menunjukkan bahawa pendekatan konstruktivisme
memberi kesan yang positif kepada murid dalam bidang akademik.Teori konstruktivisme menurut Abdul Jalil dan Bahtiar (2005) pula
menyatakan bahawa murid membina makna mengenai dunia dengan mensintesis
pengalaman baru terhadap apa-apa yang mereka telah fahami sebelumnya. Mereka
menjelaskan bahawa melalui prinsip konstruktivisme, ilmu pengetahuan dibina
secara aktif oleh setiap individu berasaskan pengalaman yang dilaluinya.
Manakala menurut Vighnarajah, Wong Su Luan dan Kamariah (2008), mendapati guru
yang menggunakan pendekatan teori konstruktivisme dapat mengaktifkan murid
dalam penglibatan proses pengajaran dan pembelajaran.Pengajaran secara konstruktivisme bermaksud pengetahuan yang dibina secara
aktif oleh individu yang berfikir. Individu itu tidak menyerap secara pasif
sebarang pengetahuan yang disampaikan oleh gurunya. Murid akan menyesuaikan
sebarang maklumat baru dengan pengetahuan sedia ada mereka untuk membentuk
pengetahuan baru dalam mindanya dengan bantuan interaksi sosial bersama rakan
dan gurunya (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2001).Konstruktivisme
merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun
dalam minda manusia (Suriaty dan Nor Hazian, 2002). Konstruktivisme juga merupakan
satu kepercayaan bahawa pembelajaran bermula dari pengetahuan dan pengalaman
yang disimpan dalam storan memori atau struktur kognitif murid. Dalam proses
pembelajaran, maklumat baru diproses dan diserapkan untuk dijadikan sebahagian
daripada struktur kognitif di dalam minda.
No comments:
Post a Comment