Monday, 7 December 2015

SEJARAH PENDIDIKAN DI MALAYSIA

       












 Sistem Pendidikan Matematik Dan Matlamatnya Sebelum Kedatangan British (1400-1786)
Sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu, sistem pendidikan orang Melayu adalah berlandaskan semata-mata kepada pelajaran kitab suci al-Quran. Kanak-kanak melayu pada masa itu biasanya mengkaji aya-ayat Quran daripada imam di surau atau di masjid. Mengikut Wilkinson (1957):
Murid di pondok mula belajar perkataan-perkataan arab dan setelah menguasainya, meraka akan terus mempelajari dengan cara menghafaz huruf abjad Arab supaya menjadi sebagai panduan membaca doa dan teks arab. Biasanya, mereka belajar tiga pelajaran sehari, setiap pelajaran mengambil masa satu jam. Pelajaran pertama biasanya dimulakan selepas sembahyang subuh; kedua, selepas sembahyang zuhur dan satu lagi selepas senja. Pada masa yang lain, murid akan menolong gurunya menguruskan hal-hal rumah dan bekerja di kebun atau sawah. Melalui kerja-kerja itu, murid-murid secara tidak langsung belajar kemahiran-kemahiran yang dikehendakinya supaya dapat menjalankan kerja dalam kehidupan harian mereka. Sungguhpun guru tidak menerima sebarang gaji daripada pengajarannya, ibu bapa murid biasanya membekalkan tikar dan bantal, periuk dan beras untuk gurunya”.
Berdasarkan kenyataan diatas, pendidikan masyarakat Melayu pada zaman sebelum kedatangan British boleh dirumuskan bahawa aktiviti pelajaran adalah terhad kepada membaca Quran, mengingat dan menghafaz doa serta mempelajari prinsip-prinsip agama Islam. Oleh sebab itu, pada waktu ini, pendidikan matematik masih belum diperkenalkan lagi di Tanah Melayu sehinggalah negara mula dijajahi oleh pihak British.
Sistem Dan Struktur Pendidikan Semasa Penjajahan British (1786-1956)
Perkembangan sekolah vernakular Melayu bermula pada tahun 1786 sehingga 1941 iaitu pada abad ke-19. Pada permulaannya, sekolah vernakular melayu hanya dibuka untuk murid-murid lelaki sahaja kerana pada ketika itu, ibu bapa menentang kuat desakan menghantar anak perempuan mereka ke sekolah. Bagaimanapun, kejayaan rancangan Skinner dalam usaha penubuhan sekolah vernakular Melayu sejak tahun 1871 telah mendorong pemerintahan British menubuhkan sekolah bagi kanak-kanak perempuan. Subjek-subjek pelajaran yang diajarkan di sekolah vernakular Melayu adalah berubah dari semasa ke semasa. Misalnya, di sekolah Melayu yang didirikan mengikut Skinner pada kurun ke-19, diantara subjek-subjek pelajaran yang diajar kepada murid ialah bacaan, mengarang, ejaan, menulis, ilmu hisab, latihan jasmani dan ilmu alam. Namun begitu, sekolah vernakular melayu terbatas hingga darjah empat sahaja.
Kemudian sekolah vernakular Cina yang pertama mula didirikan di Kuala Lumpur adalah pada tahun 1900. Kurikulum sekolah vernacular Cina adalah berdasarkan pelajaran klasik lama iaitu menghafaz klasik lama, belajar kaligraf dan ilmu-ilmu kira dengan menggunakan abakus. Kemudian kurikulum baru mula diperkenalkan di sekolah moden cina pada awal kurun ke-20. Selain daripada pelajaran klasik lama, murid-murid juga belajar sejarah, ilmu alam, sains moral, bahasa, ilmu hisab, lukisan, menyanyi dan latihan jasmani. Bagi sekolah vernakular Tamil, pada peringkat awal pembinaannya mengalami banyak kekurangan kerana kedatangan murid tidak tetap dan kadar keciciran juga tinggi.
Untuk sekolah Inggeris di Tanah Melayu yang terulung pada masa itu dibuka di Pulau Pinang iaitu Penang Free School. Pembinaan sekolah itu adalah atas inisiatif Rev R.S Hutchings iaitu ketua Paderi Negeri-Negeri Selat. Pada 6 Disember 1816, Hutchings mengumumkan rancangan dan kebaikan mengenai penubuhan Penang Free School dihadapan masyarakat umum. Beliau menerangkan kanak-kanak di sekolah ini akan diajar membaca, menulis bahasa Inggeris serta hukum-hukum dalam membuat kira-kira.
Kesimpulannya, sejarah pendidikan matematik di Tanah Melayu atau Malaysia bermula apabila British mula menjajah tanah Melayu dan menubuhkan beberapa sekolah bagi mengajar subjek matematik walaupun pada masa itu, guru-guru yang mendidik subjek matematik masih belum menguasai subjek ini apabila mengajar murid-murid.

 Latihan Guru
Disebabkan pembelajaran matematik sangat penting pada ketika itu, pada tahun 1900 Kolej Latihan Melayu di Melaka. Kolej Latihan Melayu Melaka menawarkan kursus latihan selama 2 tahun. Buat kali pertama, seramai 24 orang guru pelatih dipilih mengikut kursus ini. Selain daripada belajar Bahasa Melayu, Pendidikan Jasmani, Ilmu Hisab, Ilmu Alam dan Teknik Menganyam, guru pelatih juga di kehendaki menjalani latihan mengajar di sekolah yang berhampiran. Kemudian, Maktab Penguruan Sultan Idris yang ditubuhkan pada tahun 1922 di Tanjung Malim, Perak, merupakan Maktab Penguruan yang lebih sempurna serta bersejarah. Tujuan Maktab Penguruan ini ditubuhkan ialah bagi mengumpulkan tenaga pengajar yang mahir terutamanya bagi subjek matematik. Bagi guru pelatih di Kolej Latihan Melayu, Johor Bharu mengikuti kursus Rahsia Mengajar, Ilmu Hisab, Ilmu Alam, Lukisan, Membaca, Ilmu Bahasa serta Pelajaran Agama.

    Raffles College
Raffles College ditubuhkan pada tahun 1919 adalah pelaksanaan cadangan Jawatankuasa Firmstones selepas mengkaji Laporan Jawatankuasa Maxwell yang ditugaskan untuk mengkaji penubuhan institusi pelajaran tinggi pada tahun 1918. Tujuan-tujuan menubuhkan Raffles College adalah bagi memenuhi keperluan melatih guru serta melatih penuntut-penuntut dalam bidang teknologi dan sains. Syarat memasuki Raffles College pada masa itu ialah lulus Peperiksaan Cambridge Seberang Laut dengan memperoleh kepujian dalam Bahasa Inggeris dan tiga mata pelajaran lain. Untuk mendapat Sijil Diploma dari Raffles College, penuntut harus belajar tiga mata pelajaran yang dipilih daripada Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Kimia, Fizik, Ilmu Alam, Ekonomi dan Pendidikan.
          Pembinaan Semula Sistem Pendidikan Negara
Selepas kembalinya tentera British pada bulan Ogos, 1945, salah satu tugas kerajaan ialah membina  semula sistem pendidikan di Tanah Melayu. Rancangan Cheeseman merupakan percubaan pertama untuk penyusunan semula polisi pendidikan di bawah pentadbiran Malayan Union. Kemudian tubuh Laporan Barnes, Laporan Fenn-Wu, Ordinan Pelajaran 1952, dan Laporan Razak. Keempat-empat ini ditubuhkan bagi memperbaharui dasar pendidikan di Tanah Melayu. Walaubagaimanapun, Laporan Razak telah digunakan sebagai mengkaji Dasar Pendidikan Persekutan Tanah Melayu. Laporan Razak dibentangkan dan seterusnya diluluskan dalam Majlis Perundangan Persekutuan pada bulan April, 1957; kemudian dikuatkuasakan sebagai Ordinan Pelajaran 1957. Inilah kali pertama dalam sejarah Malaysia di mana perancangan pendidikan yang telah dirangka untuk semua kaum dengan corak identiti kebangsaan.

       Perkembangan Pendidikan Awal Kemerdekaan Sehingga 1970-an
Pada tahun 1959, sebuah Jawatankuasa Penyemak Pelajaran telah dibentuk dengan melantik Abdul Rahman Talib, yang ketika itu menjadi Menteri Pelajaran Malaya, sebagai pengerusi. Tujuan perlantikan jawatankuasa tersebut ialah mengkaji semula polisi pendidikan kebangsaan sebagaimana yang telah dicadangkan dalam Laporan Razak serta kesan-kesan dalam perlaksaannya. Pada Laporan Rahman Talib, terdapat rancangan Sistem Pendidikan Aneka Jurusan. Semua murid di bawah sistem ini dikehendaki  mempelajari subjek pelajaran asas termasuklah matematik yang merupakan subjek asas yang perlu dipelajari oleh murid-murid.
Bagi menambahkan bilangan guru yang mengajar subjek matematik, pada tahun 1963, sebuah jawatankuasa dilantik untuk mengkaji kursus-kursus pengajian serta sukatan latihan perguruan. Jawatankuasa telah mencadangkan supaya suatu Program Integrasi dirancang secara menyeluruh untuk melatih guru bagi sekolah menengah rendah. Mengikut Program Integrasi ini, keenam-enam Maktab Perguruan hanya akan melatih guru-guru dalam subjek tertentu. Bagi guru yang mengajar subjek matematik dan sains, mereka ditempatkan di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang.
Sejak Sememanjung Malaysia mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957, program meningkatkan prestasi guru telah diberikan keutamaan dalam rancangan Kementerian Pelajaran Malaysia. Oleh sebab itu, jawatankuasa dibentuk untuk merancang Khursus Dalam Perkhidmatan bagi guru-guru sementara dan Kursus Tambahan bagi guru-guru terlatih. Dalam Perkhidmatan yang dicadangkan oleh Jawatankuasa antaranya meliputi kursus tambahan untuk guru-guru terlatih yang akan mengajar subjek-subjek dalam kurikulum baru seperti Sains Paduan, Sains Nuffield, Matematik Moden dan lain-lain.
Seterusnya, sebagaimana yang telah disebutkan, Malaysia telah menubuhkan 3 buah universiti baru diantara tempoh 1969-1971. Terdahulu daripada itu, Kolej RIDA telah ditubuhkan pada tahun 1956 dengan tujuan melatih Bumiputera dalam bidang perniagaan. Pada masa itu, Kolej RIDA adalah dibawah pengelolaan Penguasa Pembangunan Luar Bandar dan Perindustrian (RIDA). Pada tahun 1967, Kolej Rida bertukar kepada Kolej MARA. Kursus yang ditawarkan oleh Kolej MARA ialah Kursus Perakaunan, Perundangan Sains Gunaan, Seni Lukis dan Rekabentuk, Komputer Sains dan Matematik, Kejuruteraan, Pertanian, Seni Bina dan Pengukuran serta Kursus Pra-Universiti.

Sistem Pendidikan Selepas 1969

Perkembangan pendidikan merupakan usaha utama yang boleh meningkatkan taraf hidup rakyat. Antara sebab pendidikan matematik sangat penting diajar di sekolah-sekolah kerana di bawah Rancangan Malaysia Pertama ada menjelaskan dapat memperbaiki taraf hidup, memenuhi keperluan dalam kehidupan, memacu kearah teknologi. Di bawah Rancangan Malaysia kedua lebih kepada memperbaiki mutu pelajaran untuk membentuk satu masyarakat yang maju berasaskan kepada sains dan teknologi moden. Selain itu, program Sains Panduan dan Matematik Moden turut diperkenalkan sebagai sukatan baru untuk membina satu masyarakat yang maju berasaskan kepada sains dan teknologi moden.

No comments:

Post a Comment